Wednesday, 14 December 2011

SELAMAT BERTUGAS KEPADA PTA

Seluruh kakitangan dan staf PAID Tapah mengucapkan selamat bertugas kepada Tuan Pegawai Tadbir Agama Tn Hj. Khairul Nizam Bin Mat Nor yang telah selamat pulang dari mengerjakan Haji di Mekah pada minggu lepas dan telah pun memulakan tugasnya bermula 12 Disember 2011 yang lalu.

Semoga dengan kehadiran semula beliau ke pejabat akan melancarkan lagi segala urusan pejabat. Setiap urusan akan berjalan dengan lancar dan jayanya.

Thursday, 8 December 2011

LATIHAN BOWLING...

Sebahagian kakitangan bersemangat menjalani latihan bowling di Ampang Bowl, Ipoh

Masing - masing bersemangat untuk berlatih bowling



Ada yang ceria dan ada yang sugul selepas main...

FORUM PERDANA BERSAMA IMAM MUDA

Pada 16 November telah diadakan satu Forum Perdana bertajuk Hijrah Satu Transformasi : Berkorban atau Terkorban.Forum tersebut telah dianjurkan oleh pihak PLUS dengan kerjasama PAID Tapah di R&R Tapah arah Selatan. Forum tersebut telah disampaikan oleh Imam Muda Ashraf, Imam Muda Hizbur, Ust Syed Norhisyam dan moderator oleh Hafiz Hamidun.




SEMINAR KESALAHAN BERHUBUNG AKIDAH

Baru - baru ini telah diadakan satu program kerjasama Unit Penguatkuasa PAID Tapah dan Slim River yang telah diadakan pada 10 November 2011 bertempat di PAID Slim River. Seramai 100 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada AJK dan Pegawai Masjid. Program tersebut telah disampaikan oleh 2 orang penceramah iaitu Ust Zulkifli Ismail dari Bhgn Penguatkuasa yang mengupas tajuk tentang kesalahan berhubung akidah dan juga Ust Hj Zamri Hashim dari jabatan Mufti yang mengupas tajuk tentang penyelewengan ajaran Syiah.



Wednesday, 7 December 2011

PERISTIWA DI SEBALIK MUHARRAM

Apabila tiba bulan muharram, umat Islam sering dihidangkan dengan kisah kekejaman salah seorang khalifah Islam yang terdiri dari kalangan khalifah Bani Umaiyah iaitu Khalifah Yazid bin Mu’awiyah r.a. dan turut dihidangkan sama kisah-kisah penderitaan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w. terutamanya Sayyidina Husain r.a. yang kononnya menjadi mangsa kekejaman Yazid.

Namun begitu sejauhmanakah kebenaran kisah-kisah tersebut ataupun ianya tidak lebih dari cerita-cerita penglipurlara golongan yang memusuhi sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini jugalah yang menyebabkan umat Islam dengan mudah menelan segala cerita khayalan dan fantasi mengenai kejahatan serta kebejatan khalifah Yazid yang diada-adakan oleh musuh-musuh Islam dengan maksud untuk memadamkan kegemilangan sejarah pemerintahan serta tamaddun Islam.

Kalau dilihat sejenak kepada kitab-kitab sejarah maka akan ditemui banyak percanggahan berkenaan peristiwa tersebut. Di dalam sesetengah kitab terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa golongan yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain r.a. ialah tentera Yazid namun di dalam kitab yang sama tetapi di tempat yang lain pula disebutkan Syi’ah Iraqlah (Kufah) yang bertanggungjawab dalam peristiwa tersebut. Dan kalaulah diperhatikan kepada semua riwayat yang memuatkan cerita-cerita tersebut baik yang khusus berkenaan pembunuhan Sayyidina Husain r.a. di tangan Yazid serta kisah kejahatan dan amalan buruk Yazid ianya tidak lebih daripada rekaan golongan yang ditolak periwayatan mereka oleh ulama-ulama ilmu rijal (ilmu untuk menilai pewarta).

Antara cerita daripada perawi-perawi tersebut ialah apa yang dikemukakan oleh Imam Thabari dan Imam Ibnu Kathir daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya (Tarikh Thabari jilid 3 hal.305-342 dan Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 217),Al-Baladzuri daripada Al-Waqidi (Ansabul Ashraf jilid 4 hal. 21-30) begitu juga Ibnu Sa’ad (Tabaqat Ibnu Sa’ad) dan lain-lain lagi seperti Ibnu ‘Asakir (Dalaailun Nubuwwah), Khalifah bin Khayyat (Tarikh Khalifah bin Khayyat), Al-Mas’udi (Murujuz Zahab), Al-Ya’kubi (Tarikh Ya’kubi). Kalau diperhatikan kepada semua riwayat berkenaan Khalifah Yazid ianya berpunca daripada mereka berdua serta Muhammad bin Zakaria Al-Ghallabi, Umar bin Syabbah dan Muhammad bin As-Saib Al-Kalbi bahkan boleh dikatakan 90 peratus peristiwa Karbala ini berpunca daripada Abu Mikhnaf.

Lalu jika diteliti siapakah mereka itu maka akan didapati mereka adalah golongan yang ditolak periwayatannya oleh ulamak-ulamak muktabar. Antaranya ialah Muhammad bin Umar yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Waqidi. Ibnu Hajar menyebutkan dalam “Lisanul Mizan” dengan katanya, “Seorang yang ditinggalkan periwayatannya walaupun luas ilmunya”(jilid 3 hal. 288). Ibnu Ma’in berkata, “Seorang yang tidak ada nilainya”(Tarikh Ibnu Ma’in jilid 2 hal. 532). Abu Hatim, Nasaie berkata, “Riwayatnya ditolak” dan Imam Abu Zur’ah berkata, “Seorang yang lemah riwayatnya” (Al-Jarh Wat-Ta’dil juz 8 hal. 20 dan Adh-Dhu’afaa’ lin Nasaie hal 557).

Berkenaan dengan Abu Mikhnaf pula Imam Zahabi menyebutkan dalam “Mizanul I’tidal” bahawa “Beliau seorang yang tidak boleh dipercayai”, Abu Hatim dan lain-lain ulama jarh dan ta’dil telah meninggalkannya (tidak menerima riwayatnya). Daaraqutni berkata, “Dia seorang yang lemah”. Ibnu Ma’in berkata, “Dia seorang yang tidak boleh dipercayai”. Murrah berkata, “Dia seorang yang tidak bernilai”, dan Ibnu ‘Adiy berkata, “Dia adalah seorang Syi’ah, pereka cerita “.(Mizanul I’tidal juz 3 hal 419)
Begitulah juga keadaan perawi-perawi yang lain bagi peristiwa tersebut. Riwayat-riwayat mereka langsung tidak ada nilainya di sisi ulamak-ulamak ilmu rijal. Untuk mengetahui kedudukan mereka boleh dirujuk kitab-kitab rijal seperti Lisanul Mizan, Mizanul I’tidal, Al-jarh Wat-Ta’dil, Adh-Dhu’afaa Ibni ‘Adiy, Adh-Dhu’afaa Lin Nasaie dan lain-lain lagi.

Di satu sudut lain pula di dalam kitab-kitab sejarah, catatannya adalah berlainan dari apa yang tersebar dalam masyarakat umat Islam umumnya. Antaranya apa yang dikemukakan oleh Ibnu Kathir bahawasanya bilamana Muhammad bin Ali Al-Hanafiah (anak Ali r.a.) diajak supaya memberontak terhadap Yazid maka beliau berkata, “Sesungguhnya saya telah datang menemuinya dan tinggal bersamanya beberapa lama maka saya dapati ia seorang yang kuat menjaga solat, suka kepada kebaikan, selalu bertanya tentang masalah feqah dan berpegang teguh kepada sunnah. (Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 233).

Sejarawan Al-Baladhzuri telah mengemukakan satu riwayat bahawa Amir bin Mas’ud Al-Jumahi berkata,”Ketika saya berada di Makkah, datang seorang membawa berita tentang kematian Mu’awiyah r.a.. Kami pun bangun dan pergi menemui Ibnu Abbas r.a. yang ketika itu juga berada di Makkah, di samping beliau ada beberapa orang sedang duduk. Hamparan hidangan sudahpun dibuka tetapi makanan belum lagi dihidangkan pada ketika itu. Maka kamipun berkata kepadanya, “Hai Ibnu Abbas! Utusan datang membawa berita kematian Mu’awiyah. Mendengar berita itu beliau terdiam beberapa lama. Kemudian beliau pun berkata, “Ya Allah! Perluaskanlah rahmat untuk Mu’awiyah. Demi Allah, bukanlah dia sama seperti orang-orang sebelumnya dan tidaklah pula akan datang sesudahnya orang sepertinya. Sesungguhnya anaknya Yazid adalah salah seorang yang soleh dari ahli keluarganya. Oleh itu hendaklah kamu berada di tempat masing-masing dan serahkan ketaatan dan bai’ah kamu kepadanya”. (Ansabul Ashraf jilid 2 hal 2).

Imam Ali Zainal Abidin walaupun pernah beberapa lama bersama dengan Yazid selepas kesyahidan ayahnya Husain r.a. serta keluarganya di Karbala namun tidak ada satupun riwayat daripada beliau yang menyebutkan bahawa Yazid ada melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, meninggalkan solat bahkan beliau adalah orang yang memberikan taat setia kepada Yazid sehingga enggan untuk turut sama dalam pemberontakan terhadap Yazid selepas itu. (Mawaqiful Mu’aradhah hal.383)

Antara sahabat agung yang pernah bersama Yazid adalah Nu’man bin Basyir dan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib r.a. Mereka berdua juga tidak pernah menyebutkan bahawa Yazid melakukan amalan-amalan maksiat tersebut sebagaimana yang disebarkan oleh orang-orang seperti Abu Mikhnaf.

Kitab-kitab sejarah juga menggambarkan kesetiaan sahabat-sahabat r.a. yang masih hidup kepada kepimpinan Yazid dan keengganan mereka untuk memberontak terhadap Yazid walaupun didorong supaya berbuat demikian bahkan lebih dari itu mereka memberi nasihat pula kepada golongan yang ingin memberontak termasuk kepada Husain r.a. sendiri. Antara mereka adalah Abu Sa’id Al Khudri, Jabir bin Abdullah, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Abu Waqid Al-Laithi r.a. dan lain-lain lagi.(lihat Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal 176, Tarikh Thabari jilid 4 hal 254 dan 288).

Apabila kelihatan dua kenyataan sejarah berkenaan dengan Yazid yang saling bercanggah, bagaimanakah cara untuk mengkompromikannya? Bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepatutnya tidak melupakan catatan sejarah di dalam kitab paling sahih di sisi mereka selepas Al-Quran di mana Imam Bukhari mengemukakan satu riwayat daripada Ibnu Abi Nu’min bahawa dia berkata, “Aku mendengar Ibnu Umar r.a. ditanya oleh seseorang (penduduk Iraq) tentang seorang yang memakai ihram lalu dia membunuh lalat (apakah dendanya)? Lantas Ibnu Umar r.a. menjawab, penduduk Iraq bertanyakan tentang (denda) membunuh lalat? Sedangkan mereka telah membunuh anak lelaki kepada anak perempuan (cucu) Rasulullah s.a.w.”. (Sahih Al-Bukhari, Kitabul Manaqib jilid 1 hal. 531).

Bukankah jelas di dalam riwayat ini Ibnu Umar r.a. mengisyaratkan bahawa pembunuh cucu Rasulullah s.a.w. itu adalah penduduk Kufah? Jadi mana-mana riwayat yang bertepatan dengan isyarat di dalam riwayat sahih ini maka ia menjadi penguat kepada riwayat tersebut dan sebaliknya mana-mana riwayat yang bertentangan dengan riwayat yang sahih maka ia tidak boleh diterima lagi.

Kerana itu ulama Ahlus Sunnah ada di antaranya dengan jelas mengatakan bahawa pembunuh Sayyidina Husain r.a. yang sebenarnya bukanlah Yazid. Antaranya Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin mengatakan, “Sesungguhnya tidak terbukti sama sekali bahawa Yazid yang membunuh Husain r.a. Kerana itu tidak harus untuk dikatakan bahawa beliaulah yang membunuh Husain r.a. ataupun yang memerintahkannya, apatah lagi untuk melaknatnya kerana tidak harus menisbahkan seseorang muslim kepada suatu dosa besar tanpa sebarang kepastian”. (Ihya’ Ulumiddin jilid 3 hal 134)
Ibnus Solah mengatakan, “Tidak sahih di sisi kita bahawa Yazid telah memerintahkan supaya Husain r.a. dibunuh”. (Fatawa Wa Masaail Ibnus Solah jilid 1 hal 216).

Ibnu Hajar sendiri selepas mengemukakan hadis berkenaan tentera yang mula-mula merentasi lautan berkata, “Imam Muhallab berkata, Hadis ini menunjukkan kedudukan yang mulia untuk Mu’awiyah r.a. kerana dialah orang yang mula-mula berperang merentasi lautan dan juga kedudukan mulia anaknya Yazid kerana dialah orang yang mula-mula memerangi Bandar Qaisar”. (Fathul Bari jilid 6 hal. 114)

Bahkan Imam Ibnu Kathir selepas mengemukakan riwayat-riwayat sejarah tersebut telah membuat komentar dengan katanya,” Syi’ah Rafidhah telah melakukan banyak pembohongan dan membawa khabar-khabar yang tidak benar sama sekali di dalam cerita-cerita kesyahidan Husain r.a.. Kisah-kisah yang telah dikemukakan sudahpun memadai. Kalaulah tidak kerana imam-imam sejarah seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain menyebutkannya tentu sekali saya juga tidak akan mengemukakannya. Kebanyakannya adalah melalui riwayat Abu Mikhnaf Lut bin Yahya sedangkan dia adalah seorang Syi’ah dan dia adalah seorang yang lemah dalam periwayatan menurut tokoh-tokoh sejarah. (Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 220)

Bagi golongan Syi’ah pula sepatutnya tidak lupa untuk mengkaji catatan ulama-ulama muktabar di dalam kitab-kitab utama pegangan mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj ‘Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib At-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Sayyidina Husain r.a. yang ikut serta dalam rombongan Husain r.a. ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah, “Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal. 306)

Pada halaman sebelumnya At-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah As-Shughra anak perempuan Sayyidina Husain r.a. kepada penduduk Kufah, “Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta’ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami,” seterusnya selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali r.a.. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darah-darah kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).

Mulla Baqir Al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadis) di sisi Syi’ah menukilkan kata-kata Sayyidina Husain r.a. kepada Syi’ah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau,”Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau Al’ Uyun,hal 391).

Di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin Al-Amin mengatakan bahawa “seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husain kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).

Dan banyak lagi kitab-kitab Syi’ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I’lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.

Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa segala cerita berkenaan kezaliman Yazid dan tenteranya tidak lebih daripada dongengan yang datangnya dari kilang-kilang Syi’ah terutamanya Abu Mikhnaf Lut bin Yahya. Kerana itulah tidak akan ditemui riwayat-riwayat tersebut di dalam mana-mana kitab bertaraf sahih di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Riwayat sahih yang ada sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini begitu jelas bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah. Bahkan kalau dikaji apa yang terdapat di dalam kitab-kitab Syi’ah yang merupakan rujukan utama mereka seperti Al-Ihtijaj, Al-Irsyad dan lain-lain akan didapati perkara sebaliknya iaitu pembunuh Husain yang sebenar adalah penduduk Kufah yang terkenal sebagai golongan Syi’ah

SALAM MAAL HIJRAH 1433H

Monday, 12 September 2011

MAJLIS JAMUAN AIDILFITRI 2011

Pada 12 September 2011 bermula jam 10.30 pagi telah diadakan majlis jamuan adidilfitri anjuran Pejabat Agama slam Tapah. Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini telah dijalankan dengan suasana yang cukup meriah dengan kehadiran seluruh kakitangan serta tetamu jemputan.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
 
 First Come, First Serve.....

 Kualiti lemang sedang diteliti oleh Wak Bani ( Pakar Lemang )

 Nak tambah lagi lah....

Inilah masakan yang saya buat malam tadi... nenas masak kurma

Apa - apa hal bungkus dulu.....nanti tak sempat pulak

 Ambik sikit je udah le.... jadi la sebungkus


Patut la selera makan ust. mazli.... ( tengoklah pengapitnya )

Tuesday, 28 June 2011

HATI MAHMUDAH VS HATI MAZMUMAH

Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.
Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ يَعۡقِلُونَ بِہَآ أَوۡ ءَاذَانٌ۬ يَسۡمَعُونَ بِہَا‌ۖ فَإِنَّہَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
(Surah Al Hajj 22:  Ayat ke 46)

Friday, 17 June 2011

SEKITAR PROGRAM DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI

Khusyuknya Ust Mazli memotong pinggan...

Wak Bani sedang mencuba sup daging rusa...

Apa yang yang terjerit - jerit tu Zura......

Ni nak potong bawang ke nak control macho....

Sunday, 12 June 2011

SEJARAH SOLAT 5 WAKTU

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
 i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
 ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

ZOHOR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.
 i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
 ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
 iii) Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
 iv) Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:
 i) Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
 ii) Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
 iii) Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
 iv) Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
 i) Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
 ii) Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
 iii) Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata,  tiada dua atau tiganya.

ISYAK
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat  mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT  menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa  empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
 i) Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
 ii) Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
 iii) Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
 iv) Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Saturday, 11 June 2011

BILA AL-QURAN MULA BERSUARA

Waktu engkau masih kanak-kanak.............
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu', Aku kau sentuh dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali, sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pngisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian, kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktupetang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stasyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan.

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar musik favoritmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku


Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran telivisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....

Wednesday, 1 June 2011

KENAPAKAH NERAKA INI DICIPTAKAN

 
Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang  melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis  perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang   dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam   satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan  majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi   ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara   macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi   orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh   dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..  takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi:   "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:   "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu'alaikum."